Pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi, enggan mensia-siakan kelebihan berlumba di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi memburu kemenangan berganda dalam pusingan keenam Kejuaraan Motosikal Asia 2019 (ARRC) hujung minggu ini untuk mencerahkan peluangnya mendahului kelas ASB1000.

Pelumba berusia 24 tahun itu, yang mewakili pasukan Honda Asia Dream Racing, kini di tangga kedua dengan 153 mata berbanding pencabarnya daripada pasukan Yamaha Racing Team ASEAN, Broc Parkes, dengan 188 mata.

Ini merupakan peluang terbaik untuknya menebus kesilapan dalam perlumbaan kedua pusingan kelima di Litar Antarabangsa Zhuhai, China, bulan lalu yang menyaksikannya menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Sebelum ini, pelumba berasal dari Selangor itu telah mengungguli dua kemenangan dalam pusingan pertama di SIC, Mac lalu dan perlumbaan pertama di Zhuhai.

"Saya perlu bekerja keras untuk mendapatkan kelebihan di sini dengan meraih dua kemenangan.

"Kalau boleh, saya tidak mahu membuat sebarang kesilapan dalam sesi latihan bebas dan kelayakan. Saya perlu betul-betul fokus kerana ia boleh merugikan saya," katanya di SIC, semalam.

Sementara itu, pengurus pasukan Honda Asia Dream Racing, Zulhelmi Ahmad, optimis pasukan itu mampu mendominasi kemenangan berganda dalam setiap kategori.

"Saya yakin Azroy (Hakeem Anuar) dan Helmi (Azman) mampu merebut podium bagi kategori Supersports 600cc.

"Dalam ASB1000 pula, saya lihat Zaqhwan mampu meraih podium tetapi harapan kami, dia mampu bergelar juara berganda di sini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Honda melancarkan sebuah pasukan baru, Boon Siew Honda Racing, yang akan membuat penampilan dalam kelas pengeluar Asia 250.

Pasukan itu bakal mempertaruhkan gandingan dua pelumba muda, Muhammad Syarifuddin Azman dan Mohd Idlan Haqimi Raduan, masing-masing berusia 18 dan 15 tahun.

"Kami ambil langkah awal memandangkan pusingan keenam diadakan di tempat sendiri," kata Zulhelmi lagi.

Dua pelumba berkenaan bakal beraksi atas tiket peluang khas dalam pusingan keenam ARRC sebagai persiapan menghadapi kejuaraan itu tahun depan.

Idlan Haqimi sudah bersedia untuk menggalas cabaran dalam penampilan pertamanya dalam ARRC selepas mencipta dua kemenangan ketika meraih tempat ketiga Piala Thailand Talent di Buriram, Thailand, minggu lalu.

"Saya sudah bersedia sepenuhnya walaupun akan berdepan saingan sengit dalam kategori 250.

"Saya akan cuba berikan saingan terbaik. Saya sasarkan podium pada minggu ini dengan menggunakan pengalaman yang ada.

"Saya tahu bukan senang nak dapatkan kemenangan kerana ramai pelumba (handalan) di luar sana ," kata Idlan Haqimi.