"Ini musim yang mencabar buat saya." Demikian reaksi yang terbit daripada pelumba Manual Tech Kyt Kawasaki, Azlan Shah Kamaruzaman, sejurus tiba di Malaysia selepas dinobatkan sebagai juara Kejohanan Motorsikal Asia (ARRC) kategori Supersport 600cc di Buriram, Thailand, kelmarin.

Azlan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), lewat malam tadi dengan disambut keluarga tercinta.

Azlan sama sekali tidak menyangka mampu merangkul gelaran juara Asia kategori Supersport 600cc itu buat kali kedua selepas kali terakhir melakukannya bersama pasukan Musashi Honda Boon Siew Racing, empat tahun lalu.

Selepas rentetan kecederaan yang dialaminya sepanjang musim ini, antaranya retak tulang jari tangan kiri dalam pusingan ketiga di Litar Suzuka dan kecederaan kaki dalam pusingan kelima di India, kejayaannya harus lebih bermakna.

"Banyak dugaan yang saya hadapi untuk tahun ini. Saya mengalami patah jari di Suzuka, hadir di Sentul (Indonesia) dengan keadaan tangan yang tidak berapa kuat untuk berlumba, kemudian terjatuh di India yang menyaksikan saya gagal dalam perlumbaan.

"Tetapi, selepas berdepan saat turun naik, kejuaraan ini menjadi sangat bermakna," katanya.

Perlumbaan di Buriram kelmarin ternyata mendebarkan kerana mata kejuaraan dalam kalangan empat pencabar utama gelaran tidak jauh berbeza.

Azlan berjaya menamatkan perlumbaan kedua di tempat ketiga, namun itu sudah cukup untuk membantunya mengumpul 155 mata keseluruhan, hanya dua mata mengatasi juara musim lalu, Zaqhwan Zaidi.

"Perlumbaan terakhir ini sangat mendebarkan. Selain berpeluang bergelar juga, pungutan mata antara kami tidak jauh beza.

"Semasa perlumbaan, banyak drama berlaku di antara saya dan Zaqhwan yang saling bertukar-tukar posisi.

"Saya tidak sedar bergelar juara keseluruhan sehinggalah diberitahu di dalam hentian pit sebaik perlumbaan berakhir. Saya berasa sangat gembira ketika itu."