Kehangatan ujian pra-musim Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) membunuh kegusaran terhadap wabak novel koronavirus (covid-19) menjelang pusingan pertama musim 2020 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bermula esok.

Ketika ini, SIC menjadi medan kepada setiap pasukan untuk menguji jentera dan keserasian kombinasi penunggang.

Tumpuan Malaysia sudah pasti kepada cabaran yang bakal dihadapi Azlan Shah Kamarulzaman sebagai juara bertahan kelas perdana ASB1000cc.



Selain itu, kehadiran beberapa nama berpengaruh sukan permotoran dua roda itu, Markus Reiterberger dan Lorenzo Zanetti, pada musim ini.

"Ramai pelumba yang menantikan permulaan saingan musim baru.

"Di sebalik kegusaran wabak covid-19 ketika ini, kami mempunyai 35 pasukan dan 29 pasukan sudah pun berada di sini.

"Kami menjangkakan saingan perlumbaan yang menarik khususnya dalam kategori ASB1000cc yang turut melibatkan dua pelumba berkelas dunia.

"Pastinya menarik untuk kami saksikan bagaimana persaingan antara pelumba dunia dengan pelumba-pelumba Asia. Kategori 600cc juga tidak kurang hebatnya," kata Pengarah Two Wheels Motor Racing (TWMR), Ron Hogg.

TWMR sebagai pengelola juga berpandangan kehadiran wabak covid-19 itu akan ditangani sebaik mungkin dalam penganjuran ARRC.

"Ketika ini, kami sedang memantau perkembangan covid-19 menerusi kementerian kesihatan setiap negara yang hadir.

"Sekiranya tiada pengumuman rasmi daripada pihak kerajaan, perlumbaan ini akan diteruskan. Semua pihak memandang serius hal ini, jadi pastinya kami juga akan mengambil langkah berjaga-jaga."