Pusingan keenam Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand menyaksikan impian pelumba Honda Musashi, Mohd Zaqhwan Zaidi, untuk menaiki podium dalam perlumbaan pertama, sekaligus mengukuhkan kedudukan mengejar gelaran juara keseluruhan kategori Supersport 600cc, tidak kesampaian apabila sekadar menghabiskan saingan di tempat ketujuh hari ini.

Tatkala tumpuan tertumpu ke arah persaingan di antara Zaqhwan dan Tomoyoshi Koyama untuk mengejar juara keseluruhan kategori Supersport 600cc, pelumba Yamaha Thailand cemerlang mengungguli saingan perlumbaan pertama.

Decha Kraisart, Anucha Narkcharoensari dan Chalermpol Polamai cemerlang untuk mengekalkan penguasaan sehingga tamat perlumbaan.

Masalah angin kencang ternyata memberi kesan terhadap prestasi Zaqhwan yang bergelut untuk mengejar kelompok hadapan.

"Saya menyasarkan untuk berada dalam kelompok hadapan tetapi saya gagal. Saya melihat Polamai berada di hadapan menghampiri Azlan (Shah Kamruzaman).

"Bagi saya, litar ini agak sukar untuk saya kali ini kerana pelumba Yamaha telah menunjukkan peningkatan di sini. Bagaimanapun, saya perlu memastikan saya bermula dengan baik dalam perlumbaan esok," jelas Zaqhwan.

Namun, paling tidak disangka, pelumba Bike Art Kawasaki, Azlan Shah Kamruzaman, bijak menyelinap di selekoh terakhir untuk menamatkan saingan di tempat keempat selepas bersaing hebat dengan pelumba AJR Racing Team, Anthony West.

"Apa yang boleh saya lakukan pada pusingan terakhir adalah saya mencuba ketika di selekoh terakhir dan akhirnya berjaya untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat," ujar Azlan.

Sementara itu, dalam kategori underbone 130cc, kerosakan jentera yang dialami pelumba Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham, pada pertengahan perlumbaan ternyata mengecewakan dirinya.

Fazli, dalam misi untuk mengejar juara keseluruhan, bersaing hebat dengan pelumba BKMS Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana.

"Saya sendiri tidak menyangka masalah tersebut berlaku, saya memberikan fokus sepenuhnya kepada pelumbaan tetapi nasib tidak menyebelahi saya kali ini," ujarnya.

Perlumbaan pertama underbone 130cc dimenangi rakan sepasukan Fazli, Mohd Haziq Fairues.

"Ia merupakan jentera yang baik disediakan oleh pasukan dan saya berusaha untuk memastikan enjin tidak terlalu panas.

"Saya cuma mengikuti rapat pelumba lain dan akhirnya pada pusingan terakhir, saya melihat ada peluang dan saya menggunakannya dengan sebaik mungkin," jelas Haziq.