ARRC: Empat pelumba terbaik Cub Prix uji Yamaha R6

Oleh Staff Writer 6 Disember 2018 204
ARRC: Empat pelumba terbaik Cub Prix uji Yamaha R6
Empat pelumba terbaik CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS diberikan peluang untuk menguji jentera Yamaha R6 dalam sesi ujian tayar rasmi Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, semalam.

Juara CP150 2018, Ahmad Afif Amran, Kasma Danial Kasmayuddin, Mohd Hafiz Nor Azman dan Mohd Akid Aziz turun ke litar untuk merebut dua slot pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia dalam kategori SuperSports 600cc dalam ARRC 2019.

Kelebihan beraksi semusim penuh dalam kelas 600cc musim ini, memberi kelebihan buat Kasma dengan muncul pelumba terpantas negara hasil catatan 1 minit 40.011 saat, namun ketinggalan kepada pelumba terpantas sepanjang dua hari sesi ujian, Peerapong Boonlert, dengan catatan 1:38.834s.

Mohd Hafiz, yang sebelum ini berpengalaman menunggang jentera Honda, mempamerkan prestasi memberangsangkan meskipun baru kali pertama menguji jentera R6.

Dia mencatatkan masa kedua terpantas di belakang Kasma dengan 1:40.614s.

“Ini merupakan aksi pertama saya menggunakan jentera R6, jadi tumpuan utama saya bukanlah untuk mendapatkan masa terbaik, sebaliknya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan lebih masa dan keserasian dengan jentera,” jelas Hafiz yang melakukan 92 pusingan sepanjang dua hari sesi ujian.

Ahmad Afif, yang pernah beraksi dalam kelas 600cc pada tahun 2015 sebelum beraksi dalam kelas Asia Production 250cc, merupakan pelumba ketiga terpantas dengan 1:41.453s manakala juara Underbone 150cc dan CP115 2017, Md Akid Aziz, dilihat masih belum mendapatkan keserasian bersama jentera dengan catatan 1:42.986s.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen