ARRC: Azlan tidak hiraukan nasib West

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2018 376
ARRC: Azlan tidak hiraukan nasib West
Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, tidak menghiraukan kontroversi yang melanda pencabar utama saingan SuperSports 600cc, Anthony West, sebaliknya fokus meraih kemenangan dalam perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, bermula esok hingga Ahad ini.

Ini berikutan isu kontroversi melibatkan pelumba Australia itu yang digantung oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIM) berkaitan isu ujian bahan terlarang yang akan menjejaskan aksi pendahulu keseluruhan itu pada minggu ini.

Menurut Azlan, dia ada membaca mengenai isu tersebut, namun tidak dapat memastikan sejauh mana penggantungan ke atas pelumba itu akan mula berkuatkuasa.

“Saya tidak pasti sama ada dia (West) akan beraksi ataupun tidak. Tidak ada berita khusus mengenainya, terutama bilakah hukuman itu akan mula dilaksana ataupun masih perlu menunggu ujian berikutnya sebelum segalanya dikuatkuasakan," kata Azlan.

“Jika benar dia digantung dan tidak boleh beraksi, saya tidak pasti adakah hukuman yang akan diterimanya akan menjejaskan jumlah kutipan mata yang dipungutnya ketika ini.

"Apa yang penting kepada saya pada minggu ini adalah hanya fokus kepada perlumbaan dan cuba untuk memenangi kedua-dua perlumbaan,” jelas pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu.

“Perlumbaan minggu ini sangat penting kepada saya. Ini adalah peluang terbaik untuk merapatkan jurang pungutan mata. Selain mendapat sokongan penyokong di Malaysia, sokongan penyokong tuan rumah kepada pasukan ini juga pasti meningkatkan semangat saya untuk meraih kemenangan minggu ini,” tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen