Pelumba One XOX TKKR SAG, Azlan Shah Kamaruzaman, meneruskan rentak cemerlangnya untuk menjuarai perlumbaan kedua pusingan keenam kategori ASB 1000, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini

Pelumba berusia 34 tahun itu mencatatkan 23 minit 29.755 saat untuk menamatkan perlumbaan 11 pusingan itu selaku juara.

"Agak sukar tetapi Alhamdulillah saya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama sebanyak dua kali.

"Ia amat bermakna dan berharga untuk saya sebab saya dapat mendekatkan mata (keseluruhan) dengan Broc Parkes.

"Saya berharap dapat mengulangi pencapaian yang sama (dalam pusingan seterusnya) di Buriram untuk merebut kejuaraan," katanya.

Walaupun hanya dibezakan 19 mata dengan Parkes (Yamaha Racing) dalam carta keseluruhan, Azlan Shah tidak mahu meletakkan sebarang tekanan terhadap dirinya dan hanya akan menumpukan perhatian terhadap perlumbaan terakhir di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, November depan.

"Saya tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi sebab saya tidak mahu meletakkan tekanan terhadap diri saya.

"Bila kita sedang merebut kejuaraan dan terlalu meletakkan tekanan terhadap diri sendiri, nanti tidak boleh bawa motor.

"Saya hanya mahu menamatkan perlumbaan dan buat yang terbaik.

"Saya akan buat benda yang sama di Buriram juga," tambahnya.

Sementara itu, pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin, terlepas peluang untuk menjuarai perlumbaan kedua kategori SS 600 selepas hanya ketinggalan 0.032 saat di belakang pelumba Yamaha Thailand Racing, Peerapong Boonlert

"Saya merancang untuk mengekori Peerapong hingga ke pusingan terakhir dan saya mula mengejarnya selepas itu.

"Saya sudah mencubanya di selekoh 9 tetapi saya terbabas sedikit.

"Saya mencuba sekali lagi selepas itu tetapi akhirnya saya berada di tempat kedua," katanya.