ARRC: Azlan kelima terpantas hari pertama pusingan akhir

Oleh Staff Writer 30 November 2018 132
ARRC: Azlan kelima terpantas hari pertama pusingan akhir
Pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman, gagal memberikan aksi terbaik, namun masih kekal memberikan cabaran apabila mencatat masa kelima terpantas dalam sesi latihan bebas kategori SuperSports 600cc pada hari pertama pusingan akhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu mencatat masa terbaik 1:39.691 saat yang dilakukan dalam sesi latihan bebas kedua sambil duo Yamaha Thailand Racing, Ratthapong Wilairot dan Decha Kraisart, menguasai hari pertama perlumbaan, masing-masing dengan catatan terbaik 1:38.939s dan 1:39.226s.

Rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira, muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 1:39.469s.

Meskipun kurang berpuas hati dengan catatan yang dilakukan, Azlan yang perlu memenangi kedua-dua perlumbaan dalam usaha untuk mempertahankan gelaran keseluruhan yang dimenangi pada musim lalu, tetap yakin mampu memberikan aksi yang lebih baik dalam sesi kelayakan esok.

“Saya mencuba beberapa pelarasan untuk mendapatkan jentera yang terbaik sepanjang sesi latihan bebas hari ini. 

"Saya berharap pasukan dapat menggunakan data yang ada untuk saya sekurang-kurangnya dapat memulakan perlumbaan akhir dari barisan hadapan,” jelas Azlan yang kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 102 mata, 34 mata di belakang pendahulu, Anthony West, yang tidak beraksi di Thailand minggu ini.

Sementara itu, dalam saingan Underbone 150cc, tugas sukar buat pendahulu keseluruhan, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Racing Team), setelah mengalami masalah enjin ketika sesi kelayakan, sekali gus gagal layak ke sesi Superpole bagi menentukan grid 15 pelumba terbaik untuk perlumbaan akhir.

Md Helmi yang sebelum itu mencatat masa terpantas 2:01.139s dalam kedua-dua sesi latihan bebas terpaksa berpuas hati untuk sekadar memulakan perlumbaan akhir dari petak ke-19.

Helmi perlu menamatkan saingan sekurang-kurangnya di kedudukan kesembilan bagi mengesahkan kedudukan sebagai juara keseluruhan kategori Underbone 150cc.

Catatan terpantas sesi kelayakan dilakukan oleh pelumba wildcard, Wawan Wello, dengan rekod litar 1:59.998s.



KEPUTUSAN:

SUPERSPORTS 600CC

1 Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:38.939s

2 Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:39.226s

3 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1:39.469s

4 Randy Krummenacher (SUI) Webike IKAZUCHI Racing 1:39.500s

5 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1:39.691s

 

ASIA PRODUCTION 250CC

1 Kritchaporn Kaewsonthi (THA) A.P. Honda Racing Thailand 1:52.997s

2 Anupab Sarmoon (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:53.089s

3 Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1:53.339s

4 Mario Suryo Aji (INA) Astra Honda Racing Team 1:53.598s

5 Peerapong Boonlert (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:53.643s

 

UNDERBONE 150CC

1 Wawan Wello (INA) Yamaha Yamalube SND Factory 1:59.998s

2 Md Amirul Ariff Musa (MAS) Yuzy Honda Vietnam Racing Team 2:00.198s

3 Md Affendi Rosli (MAS) Team One For All 2:00.530s

4 Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 2:01.231s

5 Md. Aiman Azman (MAS) Yuzy Honda Vietnam Racing Team 2:01.475s

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen