Azlan Shah Kamaruzaman belum patah semangat walaupun sedar peluang untuk mempertahankan kejuaraan SuperSports 600cc Asia semakin sukar selepas menamatkan Perlumbaan 1 pusingan akhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di kedudukan keenam di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu ketinggalan 25 mata kepada pendahulu, Anthony West, yang mengumpul 136 mata manakala dua pencabar, Ratthapong Wilairot (Yamaha Thailand Racing Team) dan rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira, menghidupkan peluang untuk merebut gelaran keseluruhan apabila menamatkan perlumbaan di atas podium.

Ratthapong muncul juara setelah menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 29 minit 56.061 saat, diikuti rakan sepasukan, Decha Kraisart, kedua dengan masa 29:57.431s. Yudhistira ketiga dengan masa 30:01.433s.

Azlan yang sebelum itu menamatkan saingan di kedudukan ketujuh dengan masa keseluruhan 30:13.572s bagaimanapun naik ke tangga keenam setelah Keisuke Kurihara digugurkan lima kedudukan setelah melakukan kesalahan melebihi had litar, sekali gus menghidupkan peluang Azlan untuk mempertahankan kedudukan keseluruhan.

West yang tidak beraksi kekal di tangga teratas dengan 136 mata manakala gelaran juara membantu Ratthapong naik ke tangga kedua dengan 116 mata, satu mata mengatasi Yudhistira, diikuti Azlan di kedudukan keempat dengan 112 mata.

Hanya gelaran juara dalam Perlumbaan 2 esok dapat membantu Azlan untuk bergelar juara keseluruhan SuperSports 600cc yang dimenangi musim lalu sambil mengharapkan Ratthapong dan Yudhistira menamatkan saingan di kelompok bawah.

“Agak malang bagi saya apabila terpaksa mengelak kemalangan yang berlaku pada awal perlumbaan sehingga kedudukan saya jauh di belakang. Saya terpaksa bekerja keras memotong seorang demi seorang pelumba dan terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tersebut,” jelas Azlan.

“Walaupun sukar, sekurang-kurangnya saya masih ada peluang dan pada masa sama mengharapkan ‘keajaiban’ berlaku dalam perlumbaan esok. Kita tidak tahu apa akan berlaku selagi belum melintasi garisan penamat.”

Nasib malang menimpa seorang lagi pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Racing), apabila terlibat dalam kemalangan dan dijangka tidak dapat meneruskan perlumbaan kedua esok.

Keputusan Perlumbaan 1
SUPERSPORTS 600CC

1. Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 29:56.061s
2. Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 29:57.431s
3. Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30:01.433s
4. Keminth Kubo (THA) YAMAHA Racing Team ASEAN 30:01.980s.
5. Tomoyoshi Koyama (JPN) Musashi Boon Siew Honda 30:02.168s
6. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30:13.572s

Kedudukan Keseluruhan
1. Anthony West (AUS) Webike IKAZUCHI Racing Yamaha 136 mata
2. Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 116 mata
3. Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 115 mata
4. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 112 mata
5. Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team 108 mata

Kedudukan Keseluruhan Berpasukan

1. Webike IKAZUCHI Racing 157 mata
2. Manual Tech KYT Kawasaki Racing 146 mata
3. Musashi Boon Siew Honda 131 mata
4. YAMAHA Thailand Racing TEAM 130 mata
5. Yamaha Racing Asean 112 mata