Lewis Hamilton mempunyai masa yang mencukupi untuk mengatasi rekod Michael Schumacher dan menjadi pemain paling berjaya dalam sejarah Formula 1, kata bekas juara dunia 1978, Mario Andretti.

Pelumba Mercedes itu melengkapkan kejuaraannya yang keenam dengan amat selesa musim lalu untuk hanya ketinggalan satu lagi kejuaraan bagi menyamai rekod Schumacher.

Pemandu berusia 35 tahun itu djangka akan sekali lagi mendominasi musim 2020, namun pandemik Covid-19 telah menjejaskan pembukaan musim ini dengan GP Perancis akan menjadi perlumbaan pertama pada Jun depan.

Andretti menjangkakan Hamilton akan mengatasi rekod Schumacher, sesuatu yang tidak pernah difikirkannya sebelum ini.

"Apabila anda melihat rekod dalam Formula 1, ia telah menjawab segala-galanya. Dia cukup muda untuk menjadi pemenang terbanyak sepanjang zaman," kata Andretti kepada Stats Perform mengenai Hamilton.

"Ia satu rekod yang saya tidak pernah menyangka ada seseorang yang begitu hampir dengannya, rekod yang dipegang Michael Schumacher.

"Tetapi Lewis sentiasa memiliki kereta yang kompetitif. Saya tidak ingat dalam kariernya jika dia pernah memiliki kereta yang tidak berpotensi untuk menang.

"Tetapi dia menyempurnakan tugasnya dan terus melakukannya, jadi saya yakin dengannya.

"Saya sentiasa meminatinya dan saya yakin bahawa dia dicemburui oleh pelumba lain.

"Dia mempunyai peralatan dan dia memanfaatkannya dan itulah apa yang setiap pelumba perlu lakukan," katanya.