Hasrat pelumba negara, Mohd Amirul Ariff Musa, untuk menggapai kejuaraan pertamanya tidak kesampaian apabila sekadar menamatkan saingan di tempat kelima dalam perlumbaan kedua, sekali gus menyaksikan pelumba Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana, dinobatkan selaku juara keseluruhan kategori Uunderbone 130cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2016.

Sejak awal perlumbaan, Amirul bergelut untuk memecah dominasi Wahyu yang unggul menerajui saingan.

Kelebihan buat Wahyu apabila mendapat bantuan rakan sepasukan, Florianus Roy Brilyan, bagi menghalang kemaraan Amirul.

Meskipun Amirul berusaha untuk keluar daripada kepungan, dia tetap tidak berjaya untuk menyekat Wahyu daripada memperoleh kejuaraan pertama ARRC kategori itu.

"Saya rasa amat kecewa kerana saya rasa diri macam dikepung. Saya cuba mengejar Wahyu tetapi tidak dapat.

"Mungkin strategi rakan sepasukannya untuk menghalang saya, bagi membenarkan Wahyu di depan. Tetapi tempat kedua pun syukur. Alhamdullillah," katanya.

Lebih malang, Amirul terlibat dalam perlanggaran di selekoh terakhir dengan pelumba Yamaha Maju Motor, Mohd Haziq Fairues.

Amirul mengakhiri saingan keseluruhan musim ini di tempat kedua dengan mengutip 133 mata, hanya 16 mata dipisahkan dengan Wahyu yang mengutip 149 mata.

Wahyu memastikan kejuaaraan miliknya dengan catatan masa 17'16.169 saat, disusuli Florianus dan Md Shah Khairil Hisham

Sebelum perlumbaan, hanya dua mata memisahkan Wahyu dengan pencabar terdekat, Amirul.

"Hari ini bukan mudah bagi saya, kerana pesaing-pesaing saya mempunyai pengalaman yang banyak. Tetapi saya tidak berdiam diri untuk meraih gelaran ini," kata Wahyu.