Bekas pemandu Formula Satu, Alex Yoong, merayu pihak berwajib untuk tidak hanya memandang kepada penganjuran antarabangsa sahaja, sebaliknya memikirkan nasib pemandu-pemandu tempatan yang kini terumbang-ambing dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ia merujuk kepada penganjuran saingan tempatan, Siri Kejohanan Malaysia, yang membabitkan perlumbaan sukan empat roda yang terpaksa ditunda.

Mengikut jadual, pusingan pertama sepatutnya berlangsung 27 hingga 29 Mac lalu dan pusingan kedua pula dijalankan pada 10 hingga 12 April lalu tetapi tidak dapat diteruskan gara-gara penularan wabak coronavirus.

Sehingga kini, masih tiada kenyataan oleh Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) mengenai nasib semua pelumba yang tidak dapat meneruskan perlumbaan sehingga menjejaskan periuk nasi mereka.

"Industri tempatan memerlukan sokongan kerana jika tidak, ia akan berkubur. Jika sukan ini tidak terus dipupuk, permintaan pastinya akan berkurangan dan semakin dilupakan," katanya.

Jika senario itu berterusan, ia bakal mengakibatkan impak yang besar dengan banyak bakat baru bakal terkubur jika pihak berwajib masib berpeluk tubuh tidak menghulurkan bantuan.

Sebelum ini, komuniti sukan dua roda juga menyuarakan perkara sama ekoran hala tuju saingan cub prix yang masih samar.