Perlumbaan motosikal antarabangsa beradrenalin tinggi mungkin kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) seawal bulan September dan hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkepentingan yang relevan dan situasi pandemik COVID-19 semakin pulih.

SIC telah membuka semula pintunya pada Khamis hanya untuk sesi latihan peribadi dengan mengenakan langkah-langkah keselamatan termasuk mengehadkan 10 orang bagi setiap sesi dalam usaha mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dilanjutkan sehingga 9 Jun.

Promoter Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA) Peter Thompson percaya perlumbaan itu mungkin kembali ke litar terkenal tersebut dalam tempoh empat bulan lagi namun amat bergantung kepada keputusan kerajaan untuk membuka semula sempadan negara.

“Selepas bertemu Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif semalam, kami berharap untuk menganjurkan perlumbaan mulai September. Bagi F4SEA, kami perlu mendapatkan kelulusan daripada FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) selepas menyemak semula kalendar musim ini dan kerajaan Malaysia membuka semula sempadannya.

“Kami memerlukan pakar, jurulatih dan jurutera asing selain pelumba dari Eropah untuk bekerjasama dengan pelumba, juruteknik dan kru tempatan. Ramai orang dalam sukan permotoran, bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia, sedang bergelut tanpa pendapatan,” katanya kepada Bernama.

F4SEA, platform bagi membangunkan pelumba muda sebagai pelumba sukan F1 pada masa akan datang, telah mencadangkan kepada FIA untuk hanya menganjurkan empat acara daripada 16 perlumbaan di SIC pada musim ini berbanding 10 acara pada 2019 dengan perlumbaan diadakan di Thailand dan India selain SIC.

Susulan pandemik itu, Thompson berkata musim 2020 akan bermula dengan hanya 16 pelumba bersaing dalam kejohanan itu berbanding 37 pelumba pada tahun lepas.

“Kami menerima panggilan daripada pelumba Eropah, terutama dari England, untuk berlumba di sini. Ini kerana F4SEA amat menjimatkan dan dua kali lebih murah berbanding di England.

“Musim ini dianggarkan menelan kos kira-kira 40,000 Euro (kira-kira RM187,969). Kami berharap tahun depan kami akan mendapat semula kalendar penuh 10 hingga 12 acara bagi mencapai matlamat utama kami untuk menghasilkan juara F1 Asia yang pertama,” katanya.

Ditanya mengenai risiko sukan permotoran kehilangan tajaan daripada jenama minyak dan minyak pelincir memandangkan industri minyak dan gas sedang berdepan kemerosotan, Thompson berkata pasukan-pasukan boleh terus bertahan dengan hak-hak penyiaran dan tajaan daripada industri lain.

Juara F4 menerima 12 daripada 40 mata yang diperlukan bagi Lesen Super F1 dan promosi automatik untuk Lesen C Antarabangsa manakala baki selebihnya akan dikumpul daripada F2 dan F3.

Pada Grand Prix Malaysia F1 Petronas 2017, jaguh tempatan Nazim Azman memenangi acara F4 sebelum menjuarai Kejohanan F3 British manakala pelumba F4SEA lain yang merangkul kejuaraan telah menandatangani kontrak dengan pasukan junior F1 Sauber dan Renault.

-- BERNAMA