Aksi perlawanan bola sepak persahabatan di antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) One Star dan Team Media FC berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Perlawanan yang berkesudahan 5-3 memihak kepada SIC itu turut disaksikan lebih 100 penonton dan peminat sukan permotoran yang memeriahkan perkarangan stadium sejak jam 8 malam.

Pelumba pasukan Monster Yamaha Tech3, Johann Zarco, dan pelumba pasukan Movistar Yamaha, Maverick Vinales, antara yang mencuri tumpuan apabila masing-masing menjaringkan gol dengan Zarco menyumbat jaringan hatrik.

Turut beraksi adalah pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah, pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi, bekas bintang pertahanan Liverpool, Sami Hyypia dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Hafizh menyifatkan perlawanan itu mampu mengeratkan lagi hubungan di antara pengamal media tempatan bersama pelumba MotoGP selain mempromosikan perlumbaan MotoGP di Malaysia yang akan bermula Jumaat ini.

“Satu acara yang menarik dan saya percaya ia dapat mengeratkan lagi hubungan pelumba-pelumba negara bersama media. Saya juga gembira kerana akhirnya dapat beraksi di stadium kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA