Md Akid Aziz semakin menghampiri gelaran keseluruhan CP115 apabila berjaya mencatat masa kedua terpantas dalam sesi ujian masa Pusingan 10 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 di Taiping, Perak, hari ini.

Pelumba rookie PETRONAS Yamaha Maju Motor itu mencatat masa terbaik 1'01.874s, berada di belakang Azroy Hakeem Anuar (Givi Honda Yuzy Racing) yang berjaya mencatat masa terpantas pada minit terakhir saingan dengan catatan 1'01.833s.

"Azroy memang pantas hari ini, namun kami beraksi dalam kumpulan yang berbeza pada minggu ini.

"Tetapi, saya tidak bimbangkan Azroy kerana jika dia memenangi perlumbaan, keputusan tersebut tidak akan menggugat kedudukan saya.

"Apa yang lebih membimbangkan saya ialah dua pencabar saya, Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang), yang mencatat masa ketiga terpantas, 1'02.089s dan rakan sepasukan, Mohd Haziq Fairues, yang mencatat masa 1'02.390s," jelas Akid.

"Saya hanya perlu mengutip lapan mata untuk menang, namun saya akan cuba untuk menaiki podium.

"Jika saingan sangat sengit, saya akan cuba mempertahankan kedudukan sekurang-kurangnya dalam kalangan lima pelumba terbaik," jelas Akid.

Sementara itu, juara keseluruhan CP130 2016, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Yamaha Maju Motor), terus mendominasi saingan apabila muncul pelumba terpantas dengan masa 1'00.078s, diikuti Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) dengan masa 1'00.816s dan Mohd Fitri Ashraff Razali (PETRONAS Yamaha-CKJ) ketiga, 1'00.948s.

Pelumba tempatan, Ahmad Fazli Sham, yang terjatuh dalam sesi latihan bebas masih berupaya mencatat masa kesembilan terpantas dengan masa 1'01.443s.

Dalam kategori Wira, Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) mencatat masa terpantas, 1'03.841s, diikuti Md Helmi Azman (IUGB AFB Tech) dan Md Amirul Arif Ramlee (PETRONAS Yamaha), masing-masing dengn catatan 1'04.048s dan 1'04.091s.

Keputusan Ujian Masa:
CP130
1. Kasma Daniel Kasmayuddin (JHR) Yamaha 1'00.078s
2. Md Zaqhwan Zaidi (SGR) Honda 1'00.816s
3. Md Fitri Ashraff Razali (KUL) Yamaha 1'00.948s
4. Ahmad Afif Amran (TRG) Yamaha 1'00.956s
5. Abd Muhaimin Roslan (SGR) Yamaha 1'00.986s

CP115
1. Azroy Hakeem Anuar (KUL) Honda 1'01.833s
2. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 1'01.874s
3. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Yamaha 1'02.089s
4. Md Haziq Fairues (SGR) Yamaha 1'02.390s
5. Ahmad Syukran Aizat (TRG) Yamaha 1'02.806s

WIRA
1. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 1'03.841s
2. Md Helmi Azman (SGR) Yamaha 1'04.048s
3. Md Amirul Arif Ramlee (JHR) Yamaha 1'04.091s
4. Md Ibrahim Norrodin (JHR) Yamaha 1'04.140s
5. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Honda 1'04.325s