Usia muda dan sibuk dengan jadual padat dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tidak menghalang pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi, untuk mencurahkan ilmu dengan melatih pelumba muda melalui penubuhan akademi perlumbaannya sendiri, iaitu Akademi SuperKIP Racing.

Selain memberi latihan, akademi yang berpusat di Kampung Gajah, Perak itu turut melangkah jauh apabila membuat keputusan untuk beraksi di pentas perlumbaan profesional negara, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, bermula pada tahun 2018 dalam kategori CP115 dan Wira.

Antara barisan awal pelumba muda yang akan membawa cabaran Akademi SuperKIP terdiri daripada1 adiknya, Anuar Ibrahim Pawi, pelumba Cabaran Honda Wave Alpha seperti Md Afizat Supaat, Mohd Amer Rossi Amidi serta gandingan adik beradik, Md Hazim dan Md Haziq Rosmaza.

“Pemilihan pelumba telah dilakukan sejak pertengahan musim Kejuaraan Cub Prix 2017 di mana kami melihat dan menilai pelumba-pelumba berpotensi yang bersaing di dalam perlumbaan satu pengeluar Honda.

“Selepas menyenaraikan beberapa pelumba, kami menjemput mereka untuk menjalani sesi latihan bersama saya sebaik Kejuaraan Cub Prix berakhir di Johor, November lalu. Kami melakukan pendekatan berbeza di mana pelumba-pelumba ini bukan sahaja menjalani latihan secara intensif, malah turut disediakan tempat tinggal di sini.

"Selain latihan di litar, mereka turut menjalani latihan seperti kecergasan, berbasikal, dan lain-lain mengikut jaual yang ditetapkan,” kata pelumba berusia 19 tahun itu.

Mengulas mengenai sasaran terhadap kesemua pelumba, Khairul Idham berkata: “Ini tahun pertama pasukan bersaing dalam Cub Prix manakala pelumba juga beraksi buat pertama kali dalam kelas lebih tinggi.

"Kami tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi, cukup jika dapat menempatkan diri dalam kelompok lima pelumba terbaik, dan satu pencapaian membanggakan jika mereka dapat menaiki podium.

“Saingan sangat sukar, tambahan pula terpaksa berdepan pasukan dan pelumba lebih berpengalaman, termasuk bekas pasukan saya, Idemitsu Kozi Yam Honda Racing. Saingan pastinya hebat dan saya harap pelumba dapat menimba pengalaman berguna pada tahun ini.”

Tambahnya, “Pasukan ini akan dijaga oleh ayah saya memandangkan saya banyak berada di Eropah pada tahun depan.

"Namun, saya akan sentiasa menyaksikan mereka berlumba secara langsung di media sosial seandainya tidak terlibat dengan perlumbaan selain sentiasa mendapatkan perkembangan terkini daripada pengurusan pasukan.”

Sementara itu, bapa Khairul, Pawi Omar, yang akan bertindak sebagai pengurus pasukan, berkata rancangan menubuhkan akademi ini timbul selepas kejayaan Khairul Idham memenangi perlumbaan Moto3 di Argentina dan Jerman.

“Pada peringkat awal akademi ini diwujudkan adalah untuk memberi tunjuk ajar kepada remaja-remaja setempat yang berminat dengan perlumbaan sebelum membuat keputusan untuk pergi lebih jauh.

“Cara bagaimana kami membentuk Khairul Idham selama ini akan digunakan pula kepada pelumba-pelumba lain. Paling penting adalah sokongan daripada keluarga pelumba itu sendiri.

"Kami gembira kerana keluarga pelumba-pelumba yang berada dalam akademi ini memberi sokongan sepenuhnya dan sanggup melepaskan anak mereka untuk tinggal bersama kami bagi menjalani latihan dan persediaan untuk menghadapi perlumbaan Cub Prix nanti,” ujarnya.