Pelumba Petronas Yamaha CKJ, Afif Amran, memanfaatkan peluang untuk menjuarai perlumbaan terakhir saingan Cub Prix di Taiping hari ini selepas cabaran Kasma Daniel Kasmayuddin berakhir awal susulan mengalami masalah jentera.

Perlumbaan ke-10 dan terakhir musim ini menyaksikan Kasma Daniel dari pasukan Petronas Yamaha Maju Motor bermula di petak hadapan dengan misi memburu kemenangan ketujuh.

Dia bermula baik dengan mengetepikan cabaran pelumba Givi Honda Yuzy Racing, Zaqhwan Zaidi.

Malang menimpa rakan sepasukan Kasma Daniel, Ahmad Fazli Sham, yang terbabas di pusingan keenam.

Tidak lama kemudian, Kasma Daniel turut dilanda nasib sama apabila jenteranya mengalami masalah, sekaligus terpaksa menamatkan cabaran lebih awal.

Kesempatan itu dimanfaatkan Afif untuk muncul juara manakala tempat kedua menjadi milik Zaqhwan sementara pelumba Petronas Yamaha Maju Motor, Abdul Muhaimin Roslan, ketiga.

"Saya cuma cuba kekal konsisten di tempat kedua kerana kedudukan Kasma agak jauh tetapi kemudian jenteranya mengalami masalah teknikal, jadi menjadi rezeki saya untuk menduduki tempat pertama buat julung kali musim ini," jelas Afif.

Keputusan ini tidak menggugat kedudukan keseluruhan dengan Kasma Daniel memperoleh trofi juara keseluruhan dengan mengumpul 178 mata, diikuti Ahmad Fazli di tempat kedua manakala pelumba berpengalaman, Norizman Ismail dari pasukan YTEQ SCK Honda Racing, ketiga.

"Saya tidak menyangka jentera saya akan mengalami masalah. Memasuki selekoh keenam, jentera saya terus mati. Mungkin ada masalah dengan spocket jentera saya," ujar Kasma Daniel.