Barisan pelumba Yamaha CKJ kategori CP 130, Mohd Afif Amran dan Fitri Ashraf Razali, mempunyai misi penting untuk dilunaskan menjelang pusingan ke-9 saingan Cub Prix Malaysia 2016 di Jempol, Negeri Sembilan, 22 Oktober ini.

Berdasarkan perlumbaan di Temerloh, bulan lalu, kedua-dua pelumba itu mempamerkan tunggangan cemerlang untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba terbaik.

Justeru, Afif dan Fitri mahu meneruskan momentum itu dengan meraih satu lagi kedudukan podium di Jempol.

Tahun lalu, Jempol membawa tuah buat Fitri apabila berjaya meraih tempat pertama. Dia kini berharap dapat mengulangi pencapaian itu untuk menaiki podium sekali lagi.

"Tahun lepas di Jempol, Alhamdulillah rezeki saya.

"Untuk kali ini, semangat itu masih ada tapi mungkin ada perubahan dari segi permukaan litar dan enjin.

"Lagipun, sekarang terdapat ramai pesaing, jadi saya menaruh harapan untuk mengulangi pencapaian tahun lepas," kata Fitri.

Misi Afif di Jempol pula adalah mengekalkan kedudukan lima pelumba terbaik keseluruhan.

Untuk mengejar kedudukan pendahulu semasa, Kasma Daniel Kasmayuddin, daripada pasukan Yamaha Maju Motor tampak sukar, namun tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Begitupun, Afif mula memperolehi keyakinan selepas mengubah suai jentera seperti yang diidamkannya dengan berkata, "Daripada lima pusingan awal, kami ketinggalan gara-gara jentera baru yang menggunakan sistem pancitan minyak.

"Dalam lima pusingan terakhir ini, kami kembali menggunakan jentera lama dan di situ prestasi saya semakin baik."