"Saya tidak mahu jatuh," demikian tegas pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin, yang mahu mengekalkan konsistensi dalam perlumbaan pusingan ke-17 MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Anak muda dari Batu Pahat, Johor ini makin bersemangat apabila mempamerkan tunggangan cemerlang dalam dua perlumbaan terakhir di Litar Motegi dan Litar Phillip Island.

Penukaran jentera dari KTM ke Honda serta penyelarasan yang optimum adalah kunci kejayaan kepada Adam apabila menamatkan saingan di tempat ke-12 di Jepun dan ke-11 di Australia itu.

"Saya tidak risau sangat sebab saya ada dapat sedikit-sebanyak maklumat daripada pelumba-pelumba lain seperti Zulfahmi (Khairuddin), terutamanya. Dia pernah berlumba di sana pada tahun ini.

"Apa yang saya dapat adalah positif, jadi dari situ ia memberikan saya semangat yang baru pada minggu ini," katanya.

Rakan sepasukan Adam, Jakub Kornfeil, juga tidak sabar menantikan perlumbaan di Sepang.

Meskipun bakal berpindah ke pasukan baru, Peugeot Saxoprint, pada musim hadapan, Jakub tetap bersemangat untuk membantu pasukannya ,SIC Racing, mengutip mata.

"Saya tidak berlumba untuk wang seperti kebanyakan pelumba di kategori atas. Saya lakukan ini kerana saya suka dan selalu cuba melakukan terbaik yang saya boleh lakukan.

"Jadi, saya melakukan persiapan seperti selalunya," katanya.

Dengan usia yang masih muda, kedua-dua pelumba SIC Racing Team ini dilihat cukup berpotensi dalam memberikan saingan, dengan setakat ini menghuni kedudukan ke-11 (Jacub) dan ke-27 (Adam) senarai pelumba terbaik Moto3.

Bagaimanapun, Jakub lebih menyerlah dengan dua gelaran podium setakat ini.