Keadaan mungkin tidak menyebelahi bekas pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin, untuk mengikuti kalendar penuh Kejuaraan Motosikal Remaja Sepanyol (CEV), tahun depan, selepas pembedahan bahu kirinya terpaksa ditunda sehingga Januari 2019.

Adam baru sahaja menjalani pembedahan anterior cruciate ligament (ACL) di kaki kirinya, dua minggu lalu.

Perancangan asal adalah untuk menjalani pembedahan bahu kiri pada masa yang sama, namun atas saranan doktor, ia perlu ditunda sehingga awal tahun depan.

Ini bermakna Adam perlu brrehat selama lebih daripada enam bulan untuk pulih sepenuhnya.

Situasi itu bakal menjejaskan penyertaannya dalam kelas Moto2 CEV, tahun depan.

"Saya tidak pasti untuk pulih sepenuhnya menjelang pusingan pertama CEV.

"Ia mungkin sempat pulih, namun saya tidak pasti sama ada saya mampu menahan kesakitan ketika perlumbaan itu nanti," katanya.

Kejohanan tersebut akan bermula pada Mac 2019 dan ia akan menjadi penampilan pertama Adam di pentas itu selepas dipindahkan pihak pengurusan daripada Kejohanan Dunia MotoGP.

Adam akan berbincang dengan pasukannya, SIC Racing Team, untuk bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) memandangkan Sepang akan kembali menjadi tuan rumah, tahun depan.

"Saya sudah memperbincangkan perkara itu dengan pihak pasukan.

"CEV juga sudah mengurangkan pusingan perlumbaan.

"Saya mahu mencuba untuk melakukan penampilan penuh dalam ARRC, namun segalanya masih dalam perbincangan," tambahnya.