Hafizh Syahrin Abdullah meluahkan nada kesal apabila ada pihak yang tidak mahu melihat pelumba negara mencipta nama di pentas antarabangsa.

Pelumba berumur 26 tahun itu memberi bayangan tersebut di laman Instagram peribadinya, seakan-akan meluahkan perpisahannya selepas 13 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan.

"Sebenarnya tiada kata putus cuma saya nak kongsikan selama 13 tahun dalam sukan permotoran, tanpa sokongan yang cukup kuat mungkin agar sukar untuk teruskan perjuangan ini, kalau boleh saya tidak mahu ada politik.

"Saya tidak tahu lagi (sama ada akan beraksi dalam MotoGP musim depan), tapi saya ingin terus berlumba tetapi saya tidak berapa minat dengan politik dalam sukan permotoran ini apabila ada pihak yang ingin melihat pelumba Malaysia tidak berjaya (gagal).

"Kita tidak boleh berdengki, bersikap tikam belakang sedangkan sama-sama bawa nama Malaysia tetapi ada orang dalam sukan permotoran ingin (lihat) saya jatuh," katanya.

Hafizh Syahrin ditimpa kemalangan ngeri dalam Grand Prix (GP) Austria, dua minggu lalu, yang menyebabkannya terlepas perlumbaan di litar sama, semalam.

Justeru, pelumba Moto2 yang mewakili Aspar Team itu mengambil kesempatan untuk pulang ke tanah air, dua hari lalu bagi menyelesaikan beberapa urusan.

"Ikutkan pelan asal, saya tidak akan balik Malaysia tetapi ini sahaja peluang untuk saya balik ketika ini.

"Sejak ke Eropah bulan lalu, kami sepatutnya tidak pulang selama setengah tahun tetapi keluarga sebelah emak saya dalam situasi yang kurang baik.

"Jadi selepas menjalani kuarantin ini, saya ada masa beberapa hari (untuk melawat mereka) sambil menjalani latihan ringan sebelum ke Eropah semula," katanya, yang sedang menjalani kuarantin selama 14 hari di sebuah hotel di ibu kota, ketika dihubungi.

Salam semua, macam yang korang dah tahu, Saya baru terlibat dalam satu eksiden. Tapi alhamdulillah saya OK. Terima kasih...

Posted by Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao on Monday, August 24, 2020


Lantas, persiapan di negara amat penting berikutan hasratnya untuk kembali berlumba di San Marino, 13 September depan.

"Sebenarnya saya sudah boleh berjalan tanpa tongkat dan beberapa hari lagi, Insya-Allah saya boleh mula mengadakan latihan di kediaman seperti awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Saya akan minta isteri hantar peralatan latihan ke hotel ini untuk saya membolehkan berkayuh agar dapat melonggarkan otot.

"Saya akan beraksi dalam GP San Marino sebab yakin boleh menunggang semula.

"Cuma ketika di Austria minggu lalu, dua doktor menekan terlalu kuat di tempat tercedera dan kalau sesiapa pun yang diperlakukan begitu, pasti akan kata sakit," katanya.