28 pelumba rali gegar Taman Endurance Antarabangsa Terengganu

Oleh Tengku Danish Bahri 14 Disember 2018 132
28 pelumba rali gegar Taman Endurance Antarabangsa Terengganu
Seramai 28 pemandu memulakan saingan hari pertama siri terakhir Kejuaraan Rali Malaysia AAM (Rally of Terengganu) di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, petang tadi.

Menurut Koordinator Kejohanan, Mohd Kurnia Abdol Sakor, penganjuran perlumbaan tersebut cukup bermakna selepas kali terakhir diadakan di Terengganu pada 2010.

Siri ketiga dan terakhir ini juga, katanya, dijangka menguji pemandu yang bertanding walaupun beberapa laluan terpaksa dipendekkan berikutan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Perlumbaan di sini cukup mencabar kerana laluannya yang berpasir di pesisiran pantai dan kebarangkalian untuk pemandu hilang kawalan cukup tinggi.

"Kami berharap sedikit perubahan laluan tidak menjejaskan saingan perebutan juara bagi kategori 4WD serta 2WD," jelas Mohd Kurnia.

Pelepasan pelumba disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dengan pemandu One Motorsports BDRT, Roduwan Rashid, menjadi yang pertama dilepaskan.

Selepas tamat siri pertama di Johor dan siri kedua di Perlis, Roduwan masih mendahului kategori 4WD dengan 24 mata, lima mata mengatasi rakan sepasukan, Mohd Henzee Hamzah, di tangga kedua keseluruhan.

Kategori 2WD pula menyaksikan pemandu Team 23 Motor, Abdul Kaathir Mustafa, mendahului dengan 19 mata manakala Azrul Azhar Norbakari di kedudukan kedua dengan pungutan 17 mata.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen