Ziyad pertahan emas

Oleh Penulis Jemputan 12 Oktober 2018 2365
Ziyad pertahan emas
Jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, mempertahankan pingat emas dalam acara lontar peluru F20 Sukan Para Asia Jakarta dengan mencipta rekod baru temasya tatkala rakan senegara, Aliff Mohamad Awi, merangkul perak.

Ziyad menepati ramalan apabila melakukan lontaran cemerlang 16.94m bagi memastikan pingat emas untuk Malaysia, sekali gus memperbaharui rekod Sukan Para Asia.

Kejayaan itu amat manis yang menyaksikan atlet berusia 28 tahun itu mempertahankan emas yang dimenangi di Incheon empat tahun lalu.

"Saya bersyukur  di atas kejayaan ini. Saya berterima kasih kepada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dalam membantu saya mencipta kemenangan ini," kata Ziyad.

"Sebelum ini, saya mengalami kecederaan tiga bulan yang lalu dan tidak menyangka mampu melakukan catatan dalam saingan hari ini."

Seorang lagi wakil negara, Aliff, meraih perak dengan lontaran 13.09m sementara gangsa milik wakil Thailand, Sanepoot Boonkong.

"Saya menyertai Sukan Para Asia tanpa sasaran pingat. Tetapi bersyukur kerana dapat mengakhiri saingan dengan pingat dan mencipta rekod peribadi yang baru," kata Aliff.

Imej: Asiana

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen