Skuad boling tenpin tambah koleksi pingat

Oleh Penulis Jemputan 10 Oktober 2018 141
Skuad boling tenpin tambah koleksi pingat
Skuad boling tenpin para negara menambah pungutan pingat pagi tadi apabila gandingan Rizal Hassan dan Hairul Imran serta gandingan Nur Syazwani Marais dan Abg Yahya Abg Azhar meraih gangsa dalam acara double campuran bagi kategori masing-masing.

Skuad boling para negara cemerlang Isnin lalu menerusi kilauan emas Abu Bakar Nyat dalam acara perseorangan campuran TPB9.

Sandaran seterusnya diletakkan di bahu Rizal dan Hairul yang beraksi dalam acara double campuran B1 dan B3.

Walaupun mendahului lawan sehingga game kelima, gandingan itu bagaimanapun hilang arah dalam game terakhir sebelum menamatkan saingan di tempat ketiga.

Dengan 1,882 jatuhan pin, mereka tewas kepada gandingan Taiwan dan Korea Selatan.

"Syukur Alhamudulillah, kami dapat tempat ketiga akhirnya walaupun menyasarkan pingat emas. Selepas game keenam, saya ada melakukan sedikit perubahan tetapi tidak menjadi," kata Rizal.

Sementara itu, gandingan Syazwani dan Abg Yahya dalam acara double campuran TPB4 turut menyumbang pingat gangsa.

Mereka tewas kepada wakil Korea Selatan dan tuan rumah Indonesia selepas melakukan 2,285 jatuhan pin.

"Persembahan saya sedikit menurun kerana mengalami sedikit kecederaan semalam. Saya beraksi baik sehingga ke game kedua, namun sebaliknya berlaku selepas itu," ujar Abg Yahya. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen