Skuad berbasikal trek bawa pulang emas bonus 

Oleh Penulis Jemputan 13 Oktober 2018 391
Skuad berbasikal trek bawa pulang emas bonus 
Kontinjen para negara menutup kempen Sukan Para Asia Jakarta 2018 dengan sempurna apabila meraih dua pingat emas 'bonus' menerusi berbasikal trek yang menyaksikan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais merangkul emas ketiganya dalam temasya kali ini.

Nur Azlia dan jurumudi, Nurul Suhada Zainal, terlebih dahulu memenangi emas dalam acara individu kejar-mengejar wanita B dan saingan lebuh raya tandem wanita B.

Turun memburu emas ketiga menerusi acara 1km ujian masa wanita B, Azlia dan Suhada mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengungguli saingan.

Mereka mencatat masa 1 minit 16.839 saat untuk menewaskan pelumba Indonesia yang akur dengan perak tatkala rakan senegara, Nur Syahida Tajudin, berpuas hati dengan gangsa.

"Saya sebenarnya tidak menjangkakan emas ini kerana pada asalnya hanya menyasarkan catatan masa terbaik.

"Walaupun hajat itu tidak kesampaian, saya sudah berikan yang terbaik," kata Nur Azlia.

Menurut Nurul Suhada pula: "Kami buat untuk negara, ibu bapa, rakan-rakan dan rakyat Malaysia. 

"Emas ketiga ini saya hadiahkan untuk rakyat Malaysia sempena Hari Sukan Negara yang jatuh pada hari ini."

Sementara itu, Afiq Afify Rizan dan jurumudi, Khairul Adha Rasol, memenangi emas dengan mencipta rekod baru temasya dalam acara 1km ujian masa lelaki B dengan catatan 1:03.942s.

Ia merupakan kemenangan satu dua Malaysia setelah Aiman Asyraff dan jurumudi, Faizal Noh, menduduki tempat kedua untuk pingat perak tatkala gangsa milik pelumba Korea Selatan.

"Ini penyertaan pertama saya dalam Sukan Para Asia. 

"Saya mahu buat yang terbaik dan dapat buktikan kemampuan selain memecah rekod.

"Terima kasih doakan saya," kata Afiq. 

Nada sama turut dilaungkan Khairul Adha yang bangga dapat membuktikan mereka mampu meraih emas dalam acara tersebut.

"Kami dapat membuktikan kemampuan, Malaysia boleh!" katanya. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen