Ridzuan raih emas hatrik di Jakarta

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2018 6286
Ridzuan raih emas hatrik di Jakarta
Jaguh olahraga para negara, Ridzuan Puzi, meraih pingat emas hatrik dalam Sukan Para Asia Jakarta apabila mempertahankan kejuaraan dalam acara lompat jauh T36, sebentar tadi.

Lebih membanggakan, Ridzuan turut mencipta rekod baru Asia dan temasya menerusi lompatan sejauh 5.49 meter.

Ridzuan, bagaimapapun, diberi tentangan awal oleh wakil Uzbekistan, Turgunov Izzat, yang mencatat jarak 5.27m dalam lompatan pertama sebelum taruhan negara itu bangkit menemui rentak terbaiknya dalam lompatan ketiga.

Gangsa dimenangi atlet Kazakhstan, Kharlamov Sergey.

Terdahulu, pingat emas ke-12 Malaysia disumbangkan perenang para negara, Muhd Syaiful Zulkafli.

Syaiful cemerlang memenangi acara 50m gaya bebas S5 dengan melakar rekod baru temasya, 34.09 saat, menewaskan perenang Vietnam dan China.

"Syukur Alhamdulillah saya dapat menyumbang emas buat kontinjen negara dan skuad renang. 

"Saya dan jurulatih memang menyasarkan pingat emas dalam acara ini," kata Syaiful yang menghadiahkan emas pertama buat skuad renang negara dalam Sukan Para Asia.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen