Ridzuan dedikasi kejayaan kepada Allahyarham Azlan

Oleh Penulis Jemputan 12 Oktober 2018 1137
Ridzuan dedikasi kejayaan kepada Allahyarham Azlan
"Ini untuk Allahyarham Azlan Mat Lazim," itu reaksi jaguh para negara, Ridzuan Puzi, selepas merangkul emas ketiganya dalam Sukan Para Asia Jakarta bagi mengulangi kejayaan cemerlang Azlan di Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Ridzuan, yang lebih dikenali dengan kepantasannya dalam acara pecut, menambah koleksi emas semalam menerusi acara lompat jauh T36 dengan catatan rekod baru temasya dan Asia, 5.49 meter, di Stadium Gelora Bung Karno.

Jelas, ketiadaan Azlan yang meninggal dunia ekoran kemalangan jalan raya dua tahun lalu berganti dalam temasya kali ini.

"Kejayaan ini untuk Allahyarham Azlan dan saya sangat bersyukur kerana dapat memenangi emas, jadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua," kata Ridzuan.

Menariknya, Ridzuan memenangi acara lompat jauh tanpa melakukan latihan khusus kerana lebih memberi tumpuan kepada acara 100m dan 400m.

Sememangnya ia dianggap kejayaan luar biasa kerana Ridzuan turut beraksi dengan kesakitan ekoran kecederaan.

"Selepas meraih dua emas, Ridzuan disahkan mengalami kecederaan otot dan pegawai MSN telah menasihatkannya untuk menarik diri. Tetapi dia memberitahu saya mahu terus melakukan lompatan dan akhirnya berjaya meraih emas yang ketiga," kata ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan.

Imej: Asiana

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen