Perlahankan larian jadi rahsia kejayaan Ridzuan

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2018 4473
Perlahankan larian jadi rahsia kejayaan Ridzuan
Jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, mendedahkan Ridzuan Puzi terpaksa memperlahankan teknik larian sebagai strategi untuk meraih pingat emas dalam acara 400 meter T36, sekali gus menjadi emas keduanya dalam Sukan Para Asia Jakarta.

Ridzuan sekali lagi mencetuskan sensasi apabila memenangi emas kedua di pentas Sukan Para Asia 2018 semalam dengan catatan masa 59.36 saat menewaskan wakil dari Iran dan Oman.

"Dalam saringan pagi semalam, dia berlari di tempat ketiga. Namun, dia kembali berasa sakit di bahagian paha ketika sesi memanaskan badan. 

"Strategi yang kami gunakan adalah memperlahankan larian dan hanya memberi kudrat 100 peratus dalam 10m terakhir. Itu sahaja. Jika larian sebenar, Ridzuan mampu mencatat 57 atau 58 saat," kata Jeganathan.

Bagaimanapun, Ridzuan yang mempunyai satu lagi cabaran dalam acara lompat jauh T20 belum pasti untuk beraksi disebabkan kecederaan itu.

"Selepas kami melihat keadaan, jika doktor katakan tidak boleh, saya tidak mahu menambahkan kecederaannya.

"Dia mungkin boleh mendapatkan emas tetapi itu bukan acara dia. Jika sekadar untuk turun beraksi, tiada masalah.

"Saya hanya mahu dia menikmati aksinya."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen