Perbaharui rekod dunia kenangan manis buat Latif

Oleh Bernama 15 Oktober 2018 111
Perbaharui rekod dunia kenangan manis buat Latif
Kejayaan memperbaharui rekod dunia dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dalam Sukan Para Asia 2018 di Jakarta adalah satu kenangan yang tidak akan dilupakan oleh atlet para negara, Abdul Latif Romly.

Anak jati Perlis itu mencatat 7.64 meter, sekali gus memperbaharui rekod terdahulu, 7.60 meter yang dilakarnya dalam Sukan Paralimpik Rio 2016.

"Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk memperbaharui rekod saya sendiri dan Alhamdulillah syukur, akhirnya saya berjaya leburkan juga rekod itu selepas dua tahun,” kata Abdul Latif ketika ditemui setibanya dari Jakarta di LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kumpulan terakhir atlet para negara, malam tadi.

Ketibaan mereka disambut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; barisan pegawai dan staf MSN dan ISN serta ahli keluarga atlet.

Mengulas lanjut, Abdul Latif tidak mahu dibuai dengan kejayaan tersebut, namun menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus memburu kemenangan dalam beberapa kejohanan antarabangsa selepas ini.

"Saya akan mengambil rehat beberapa minggu sebelum kembali menjalani latihan kerana saya akan menyertai beberapa kejohanan besar tahun depan, termasuk Sukan Para ASEAN 2019 di Filipina dan Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di UAE,” katanya yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016.

Berkongsi pandangan sama adalah seorang lagi atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, yang berbangga kerana dapat membantu kontinjen Malaysia meraih kejayaan cemerlang di Jakarta.

Ziyad memaklumkan akan mengambil cuti  beberapa minggu sebelum kembali menjalani latihan seperti biasa sebagai persediaan menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa tahun depan.

"Saya sudah berbincang dengan jurulatih saya (Mohd Faizol Harun) di mana saya akan menyertai beberapa kejohanan utama seperti Kejohanan Paralimpik Dunia di UAE, Para ASEAN di Filipina, namun yang lebih penting, saya akan cuba melayakkan diri secara merit ke Sukan SEA sebagaimana yang saya lakukan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan semestinya saya mahu menang dalam kesemua pertandingan itu,” jelas anak jati Gombak, Selangor itu.

Ziyad yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, melakukan lontaran sejauh 16.94 meter dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran), sekali gus mencipta rekod baru temasya.

Malaysia menamatkan cabaran Sukan Para Asia 2018 di kedudukan kelapan dengan meraih 17 emas, 26 perak dan 25 gangsa, sekali gus mengatasi pencapaian pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan menerusi kutipan 15 emas, 20 perak dan 27 gangsa.

— BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen