Kekecewaan Iasah di Rio berjaya ditebus

Oleh Penulis Jemputan 9 Oktober 2018 394
Kekecewaan Iasah di Rio berjaya ditebus
"Kegagalan lalu tidak bermakna kita akan jatuh selamanya," kata atlet olahraga para negara, Siti Noor Iasah Ariffin, yang mengakui kekecewaannya ketika Sukan Paralimpik Rio 2016 menjadi motivasi tinggi sehingga berjaya meraih emas pertama Malaysia dalam  Sukan Para Asia Jakarta 2018 hari ini.

Walaupun sudah dua tahun berlalu, insiden dalam Sukan Paralimpik Rio 2016 itu masih berbekas di hati Iasah.

Dia kempunan meraih gangsa hanya kerana tindakan pelari Poland ketika itu merebahkan diri di garisan penamat.

Tampil di pentas berbeza Sukan Para Asia, Iasah berjaya menebus kehampaannya itu menerusi emas acara 400 meter T20 wanita.

Dia mencatat masa 58.69 saat dan lebih manis buat Iasah, ini merupakan emas pertama kontinjen negara dalam temasya kali ini.

"Kegagalan di Rio berjaya saya tangani dan bangkit dalam Para Asia kali ini, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi empat tahun lalu," kata Iasah.

Lantas, dia menganggap pengorbanannya selama ini berbaloi sebagai antara pencapaian tertinggi dalam kariernya.

"Saya berkorban meninggalkan keluarga untuk membuat persiapan menghadapi kejohanan ini dan ia membuahkan hasil," ujarnya.

Sementara itu, Nasharuddin Muhammad mengakui kejayaan meraih emas dalam acara 400 meter T20 kategori lelaki tidak akan hadir tanpa dorongan keluarga.

Dia yang menghadiahkan emas kedua Malaysia dalam Sukan Para Asia Jakarta mengakui menghubungi ibunya bagi meredakan tekanan untuk beraksi.

Rutin yang selalu dilakukan Nasharuddin itu membantunya beraksi cemerlang serta berjaya memecah rekod temasya dan Asia 49.58 saat dengan catatan 49.32s untuk masa terbaiknya kini.

"Saya telah menghubungi keluarga sebelum beraksi dan ia telah memberikan semangat dalam final dan berjaya meraih emas untuk negara," kata Nasharuddin.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada mak dan ayah yang sentiasa mendoakan saya."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen