Aideal pamer kebangkitan di Jakarta

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2018 530
Aideal pamer kebangkitan di Jakarta
Pelari pecut para negara, Faizal Aideal Suhaimi, berpuas hati dengan kebangkitan yang dilakukannya sebaik meraih kedudukan podium dalam acara 100 meter T12 dalam Sukan Para Asia Jakarta, tengah hari tadi.

Aideal mengalami kemerosotan prestasi selepas memenangi pingat emas Sukan Para Asia Incheon 2014.

Ia menyaksikan atlet kelahiran Kedah itu gagal memberi kilauan emas dalam Sukan Para Asean Kuala Lumpur, tahun lalu.

Namun, ketika dia tidak diletakkan harapan untuk meraih pingat di Jakarta, Aideal tampil dengan kejutan meraih gangsa.

"Selepas saya tewas dalam  Sukan Para Asean lalu, saya berasa sangat kecewa, semua pihak seakan-akan tidak memandang saya. Namun, jurulatih Jeganathan memanggil saya untuk persiapan ke Sukan Para Asia. Dia percaya saya mampu meraih pingat di sini. Alhamdulillah, saya berjaya," katanya.

Dalam aksi final tersebut, Aideal mencatat masa 11.40 saat sebelum tewas kepada pelari Uzbekistan dan Jepun.

Kejayaan itu sedikit-sebanyak mengubati kehampaan prospek emas negara, Afiq Ali Hanafiah, yang gagal ke final kerana dibatalkan penyertaan ketika saingan peringkat kelayakan.

"Malaysia menghantar tiga orang wakil, namun Afiq tidak layak ke final. Mujur masih ada wakil dalam final kerana acara ini sentiasa menjadi tumpuan," tambah Aideal.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen