Chef-de-Mission Malaysia untuk Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017, Datuk R. Subramaniam, yakin kontinjen negara mampu mengatasi pencapaian dalam temasya di Singapura tahun lalu, dengan menyasarkan kutipan 65 hingga 70 emas pada September depan.

Belum ada senarai akhir acara yang akan dipertandingkan, bagaimanapun, sasaran awal telah pun ditetapkan untuk Sukan Para Asean Kuala Lumpur tahun hadapan.

Yang pasti, pencapaian dua tahun lalu mahu diatasi, di mana Malaysia sekadar meraih 52 pingat emas dan menduduki tempat ketiga di belakang Indonesia dan Thailand.

Tegas Subramaniam, dengan penambahan 16 jenis sukan yang dipertandingkan, sasaran itu dianggap relevan dengan menyenaraikan olahraga dan renang sebagai penyumbang utama emas buat kontinjen Malaysia.

"Di Singapura, kita telah capai 52 emas untuk tempat ketiga. Jadi, kita mahu tingkatkan lagi dan saya jangkakan antara 65 hingga 70 emas akan diperoleh. Ia akan membawa kita daripada tempat bawah ke tempat atas," katanya.

Sukan pelayaran terpaksa digugurkan ekoran gagal melepasi minimum empat undian walaupun Malaysia memiliki harapan cerah untuk meraih pingat emas. Turut tiada dalam senarai adalah sukan menembak.

"Sasaran dalam Sukan Sea tahun depan sebenarnya adalah lebih baik daripada di Singapura. Dalam aspek pingat emas, kami belum memutuskannya tetapi ia perlu lebih baik daripada 52.

"Dari segi kedudukan pula, kami sasarkan berada di tempat kedua berbanding tempat ketiga di Singapura," kata Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, SM Nasarudin Nasimuddin.