Pembukaan suram buat skuad renang negara apabila hanya meraih empat perak pada hari pertama acara itu dalam Sukan Para ASEAN 2017 di Pusat Akuatik Nasional, hari ini.

Perenang para negara nyata bergelut untuk memburu emas pertama apabila menerima tentangan sengit, terutama daripada peserta Singapura dan Thailand.

Pencapaian terbaik negara ialah menerusi Carmen Lee yang meraih perak dengan catatan 1 minit dan 29.75 saat dalam acara 100m gaya bebas S8 wanita.

Seterusnya, dalam acara 200 meter gaya bebas S14 lelaki, wakil Malaysia, Zadrian Chan Zhi Weng, juga meraih perak sekalipun memberi saingan sengit kepada perenang Indonesia, Kevin Ode Natama.

Anderson Anak Jambal, yang beraksi dalam acara 50m kuak dada SB3 lelaki, juga kempunan untuk meraih emas apabila sentuhan tangan pada saat akhir memisahkan Anderson dengan perenang Vietnam, Ha Van Hiep.

Van Hiep memperoleh emas selepas mencatat 1m 1.83s manakala Anderson meraih perak dengan 1m 2.64s.

Sementara itu, Julius Jaranding, yang beraksi dalam 50m kuak dada SB13 lelaki, mencatat 35.43s untuk meraih perak manakala pingat emas milik perenang Indonesia, Marinus Melianus Yowei (34.05s).

"Saya betul-betul tidak boleh jelaskan. Saya melihat dia berada di sebelah saya. Saya berusaha keras untuk mengejar tetapi ia tidak berhasil," kata Carmen.