Skuad ping pong berpasukan lelaki para negara kategori T10 berdepan cabaran besar dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 apabila perlu sekurang-kurangnya mempertahankan pingat perak yang dimenangi dalam edisi sebelum ini di Singapura.

Kategori T10 lelaki yang dibarisi pemain seperti Mohd Azwar Abu Bakar dan Ahmad Syahir Mohd Akmal Saupi tewas 1-3 di tangan Thailand dalam pusingan pertama acara berpasukan hari ini.

Malaysia hanya memenangi satu perlawanan menerusi acara individu pertama menerusi Azwar sewaktu menentang wakil Thailand, Sukij Samee, namun tewas 7-11, 5-11, 8-11 kepada Bunpot Sillapakong dalam perlawanan kedua individu.

Nasib sama turut melanda acara beregu apabila gandingan Azwar dan Syahir gagal membuahkan hasil, menyebabkan mereka tewas 5-11, 7-11, 10-12 di tangan Thailand.

Ketua jurulatih, Ng Tong, menyifatkan kategori T9 lebih berpeluang cerah untuk merangkul emas dan ketiadaan Chee Chaoming dalam kategori T10 membuatkan Azwar dan Syahir bergelut untuk merebut pingat.

“Sekarang Chaoming telah kembali ke kategori T9 dan Syahir masih belum cukup matang, jadi ia mungkin sedikit sukar,” katanya.