Kapten pasukan bola keranjang berkerusi roda negara, Ahmad Nazri Hamzah, percaya skuad negara kini dalam prestasi yang memuaskan untuk persediaan ke Sukan Para ASEAN 2017 meskipun tidak terlibat dalam mana-mana kejohanan luar tahun ini.

Skuad para negara hanya menjalani sesi latihan sepenuh masa dan sekadar terlibat dalam Kejohanan Liga Bola Keranjang Berkerusi Roda Kebangsaan, Ogos lalu.

Mengakui pada mulanya agak ralat apabila tiada sebarang saingan di luar negara, namun lama-kelamaan ia berjaya diatasi dengan mengisi masa selama setahun untuk latihan sahaja.

Bagi Nazri, dia dan rakan sepasukan sedaya-upaya menyelitkan keseronokan di gelanggang agar tidak bosan dan lebih fokus untuk memperbaiki teknik jaringan.

"Fokus kami pada tahun ini adalah mempertingkatkan lagi aspek jaringan dan stamina.

"Tahun lepas, kami tewas dengan Thailand kerana kelemahan daripada teknik jaringan," jelas Nazri.

Sering kali tewas kepada Thailand dalam Sukan Para ASEAN di Myanmar dan Singapura yang lalu, skuad negara bertekad membalas dendam untuk memastikan pingat emas pertama berjaya diraih di laman sendiri tahun hadapan.

"Di Myanmar, kami tewas kurang daripada 10 mata berdepan Thailand. Ketika ini, pemain yang mengalami kecederaan sudah menghampiri 100 peratus cergas," tambah Nazri.