Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mahu atlet negara mempunyai mentaliti ‘mahu menang’ untuk Malaysia menjadi juara keseluruhan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan.

Khairy semalam memberikan amanat kepada kontinjen Sukan SEA dan Sukan Para Asean dalam perhimpunan atlet 'Kita Juara' di ibu negara.

Dihadiri lebih 800 atlet, termasuk pemimpin tertinggi persatuan sukan, Khairy juga mahu jurulatih dan pegawai sukan mempunyai misi sama dalam usaha menjadikan Malaysia juara keseluruhan.

“Kami cuba menekankan kepada atlet mentaliti mahu menang supaya mereka memberikan yang terbaik dalam Sukan SEA nanti,” katanya.

Saranan Khairy itu pantas disahut atlet negara yang menyedari aksi di laman sendiri sepatutnya memberikan kelebihan kepada mereka untuk menang.

“Saya telah mendapat suntikan semangat untuk menghadapi cabaran KL 2017. Sebagai tuan rumah, kami harus memberikan yang terbaik,” kata atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi.

“Khairy memberikan kepentingan untuk kami muncul sebagai juara keseluruhan di Sukan Sea dan Sukan Para Asean nanti. Pada saya, perkara itu tidak mustahil dan saya percaya kami mampu melakukannya,” ujar atlet Paralimpik negara, Ziyad Zolkefli.