Kertas kerja untuk program baru jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah 90 peratus siap menjelang pembentangannya kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bulan depan.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah pun mengadakan mesyuarat semalam dan antara inti pati yang menjadi perbincangan dalam kalangan exco adalah persiapan Azizulhasni sebagai prospek pingat emas di Tokyo kelak.

Program latihan baru yang dirangka jurulatih, John Beasley, itu sudah pun hampir siap untuk dibentangkan sebelum pengumuman rasmi program persediaan melibatkan kontinjen Malaysia ke temasya Tokyo 2020 diumumkan KBS.

Ia termasuk usaha untuk membantu seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom, layak secara merit buat julung kalinya dalam temasya sukan terbesar dunia itu tahun depan.

"Kami perlu dapatkan (rangka) program (yang diusulkan) John Beasley terlebih dahulu sebelum menelitinya bersama-sama MSN untuk KBS.

"Kemudian kami akan menyerahkannya pada 10 Januari depan," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab.

Untuk berbasikal para pula, tiada pelan yang dibincangkan di sebalik Malaysia sudah pun mendapatkan tiga slot untuk beraksi dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Semalam (dalam mesyuarat), ada wakil daripada para tetapi ia tidak pernah dibangkitkan, jadi kami anggap ia tiada masalah.

"Tidak tahulah kalau ada (usul) dalam masa terdekat ini dan kami sedia memberi sokongan."


Editor: Shaiful Shamsudin