Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, mengakui agak emosi susulan penundaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 berikutan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.

Penerjun berusia 20 tahun itu mengakui perasaannya bercampur baur antara gembira dan sedih dengan penangguhan temasya sukan terbesar dunia itu, namun menegaskan usaha menangani penularan wabak penyakit berjangkit itu perlu menjadi keutamaan dunia ketika ini.

Dhabitah menjelaskan dirinya sudah menjangkakan Sukan Olimpik 2020 akan ditangguhkan, namun tetap menjalani latihan seperti biasa agar lebih bersedia bagi menghadapi temasya sukan empat tahun sekali itu.

“Saya baca banyak artikel membuat spekulasi Olimpik akan ditangguh sebelum ini tetapi perasaan (Olimpik ditangguhkan) itu lebih kuat selepas Kanada dan Australia menyatakan pendirian tidak akan menghantar atlet ke Tokyo.

“Olimpik lebih daripada sukan, dengan keadaan sekarang saya rasa ia satu keputusan yang tepat kerana apa nilainya Sukan Olimpik itu jika berlangsung tanpa penyertaan negara-negara terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach bersetuju menunda Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke musim panas 2021 berikutan pandemik COVID-19.

Temasya sukan itu dijadual bermula 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

Nur Dhabitah berkata sebelum ini, beliau tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kemungkinan penangguhan itu kerana ingin memberi tumpuan kepada persiapannya yang menyaksikan beliau turut melakukan latihan sendiri sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di rumah.

“Lima puluh peratus diri saya gembira dan 50 peratus lagi tidak. Saya berusaha gigih dan menunggu saat ini, tambahan pula hanya empat tahun sekali dan persiapan telah mencapai 70-80 peratus. Tetapi yang gembiranya kita mempunyai lebih masa untuk berlatih dan mengemaskan lagi terjunan,” jelasnya.

Nur Dhabitah yang cemerlang membawa pulang satu pingat perak dan dua gangsa pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang merupakan antara atlet negara terawal mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Tokyo dan ia bakal menjadi penampilan keduanya selepas edisi 2016 di Rio de Janerio, Brazil.

Ia susulan kejayaannya meraih pingat emas acara 3m papan anjal individu wanita pada Kejohanan Terjun Piala Asia 2019, September lepas sekali gus menjadi penerjun keempat negara yang melayakkan diri selepas Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Wendy Ng Yan Yee.

Beliau turut menyasarkan memperoleh satu lagi slot Olimpik dalam acara terjun 3m papan anjal seirama wanita bersama Wendy sebagai gandingannya, namun Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA pada April depan yang menjadi medan kelayakan terakhir ditangguhkan sehingga Jun.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu merancang menyambung kembali pengajiannya di peringkat diploma yang ditangguhkan sebelum ini bagi persiapan ke Tokyo.

-- BERNAMA