Tiada penembak negara layak ke Tokyo 2020

Oleh Staff Writer 12 November 2019 88
Tiada penembak negara layak ke Tokyo 2020
Skuad menembak negara gagal menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas dua penembak sandaran utama hambar dalam Kejohanan Menembak Asia di Doha, Qatar.

Skuad menembak negara gagal menempah slot ke Sukan Olimpik selepas harapan terakhir, Johnathan Wong, terlepas tiket ke Tokyo dalam Kejohanan Menembak Asia yang berakhir semalam.

Ini kali pertama Malaysia tiada wakil menembak dalam temasya berprestij itu sejak 1984.

Johnathan yang tampil dalam Sukan Olimpik Rio 2016 sekadar menghuni tangga ke-11 dalam acara 10 meter air pistol lelaki. 

"Saya sendiri menyaksikan mereka beraksi tetapi beberapa sentuhan terakhir menggagalkan peluang atlet negara melangkah ke Sukan Olimpik," kata pengurus skuad menembak negara, Datuk Musa Omar.

Sementara itu, penembak negara, Ezuan Nasir Khan, menganggap kurang pendedahan di peringkat antarabangsa dan penutupan Lapang Sasar Subang sejak tahun lalu antara faktor prestasi skuad menembak merudum.

"Kami telah lama berehat daripada saingan antarabangsa. Kejohanan tempatan juga baru sahaja dianjurkan baru-baru ini. Saingan di Doha merupakan aksi antarabangsa kedua saya bagi musim ini," kata Ezuan.

"Terdapat banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki, terutama daripada segi corak intensiti latihan dan saya akan berbincang dengan pihak Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi melihat perubahan yang diboleh dilakukan bagi mendapatkan keputusan yang lebih baik," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

"Semestinya ini adalah berita yang mengecewakan tetapi atlet-atlet lain yang masih lagi dalam proses kelayakan diharapkan dapat melakukan yang terbaik agar meningkatkan lagi jumlah atlet ke Tokyo nanti," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen