Ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong, diberikan keistimewaan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk terus menjalani latihan di China di sebalik kebimbangan mengenai wabak novel koronavirus.

Atlet dari Perak itu masih berlatih di Guangzhou di samping bekas jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang, sejak beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, Jun Hoong yang meraih pingat emas acara 10m platform dalam Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary, pada Julai 2017 itu tidak menyertai sebarang pertandingan akibat kecederaan lutut yang dialaminya dua tahun lalu.

Bagaimanapun, nasib tidak sama menimpa pasukan terjun negara yang sedang berlatih di Chengdu apabila memilih untuk pulang ke tanah air disebabkan wabak tersebut.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu kini dalam persiapan untuk cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan MSN jelas tidak mahu sesi berkenaan terganggu.

Justeru, Jun Hoong dibernarkan untuk terus berlatih di China sehingga sesi pemilihan bulan depan.

"Jun Hoong tidak berada di tempat utama penularan wabak itu.

"Kebetulan pula hanya dia yang ada di pusat latihan Guangzhou itu.

"Jadi, dia menikmati persekitaran di sana tetapi kami juga memikirkan kemungkinan lain sekiranya tiada perubahan terhadap penularan wabak itu.

"Oleh itu, Zhuliang meminta kebenaran untuknya kekal dan kalau penularan wabak tiada perubahan, sudah tentu dia akan dibawa pulang ke Malaysia," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, di Bukit Jalil hari ini.

Sebelum ini, barisan penerjun negara yang diketuai Pandelela Rinong sudah kembali ke tanah air minggu lalu.

Pada masa yang sama, Shapawi menegaskan bahawa sukan lain yang ingin berlatih di luar negara ataupun menyertai kejohanan antarabangsa buat masa kini harus mengelak daripada memilih China sebagai destinasi.

"Elakkan (untuk mengadakan latihan) khususnya ke China.

"Mereka perlu mencari pilihan selain daripada negara berkenaan."



Editor: Shaiful Shamsudin