Taekwondo Malaysia: Laluan sukar tetapi tak mustahil

Oleh Bernama 2 April 2020 32
Taekwondo Malaysia: Laluan sukar tetapi tak mustahil
Laluan sukar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020  tidak menghalang usaha Taekwondo Malaysia (TM) daripada mengambil kesempatan penangguhan temasya sukan terbesar dunia itu untuk mempersiapkan atlet negara.

Sukan tersebut kali terakhir mempunyai wakil Malaysia di pentas Sukan Olimpik ialah pada 12 tahun lalu dengan Elaine Teo dan Che Chew Chan beraksi dalam kategori wanita bawah 57 kilogram (kg) dan 67kg edisi 2008 di Beijing.

Selepas itu, tiada atlet negara layak dalam edisi 2012 di London dan 2016 di Rio de Janerio manakala peluang untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang ditangguh sehingga Julai tahun depan, nampak suram.

Hanya hanya enam atlet utama dalam ranking dunia dan finalis pusingan kelayakan Asia bagi setiap kategori layak ke Tokyo.

Pengarah Teknikal TM, R. Dhanaraj, berkata susulan penangguhan Sukan Olimpik, ia memberi lebih banyak masa untuk persatuan itu membuat persediaan dan mendedahkan atlet kyorugi di peringkat lebih tinggi bagi memastikan mereka dapat menandingi atlet handalan dunia.

Bagaimanapun, beliau mengakui persatuan itu belum dapat melakarkan rancangan untuk beberapa bulan akan datang selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif dan Jawatankuasa Kejurulatihan TM dibatalkan berikutan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia adalah tugas yang sangat sukar untuk layak ke Sukan Olimpik, namun kami akan terus berusaha. Susulan Sukan Olimpik Tokyo ditangguh hingga Julai 2021, kami mempunyai lebih banyak masa untuk melatih atlet yang masih muda dan mampu bersaing di peringkat tinggi.

“Bagaimanapun, disebabkan pandemik COVID-19 dan sekatan perjalanan, hampir kesemua pertandingan dan program latihan dihentikan. Kami tidak boleh membuat keputusan mengenai langkah seterusnya sehingga keadaan bertambah pulih,” katanya.

Kejohanan kelayakan Asia, yang pada asalnya dijadualkan dari 10 hingga 12 April ini di Amman, Jordan, ditangguhkan kepada 5 hingga 7 Jun depan manakala Kejohanan Asia 2020 di Beirut, Lubnan dari 11 hingga 15 Mei ditangguhkan.

Selasa lalu, badan induk taekwondo dunia, World Taekwondo, berkata Kejohanan Dunia 2021 di Wuxi, China pada Mei tahun depan turut ditunda selepas penjadualan semula Sukan Olimpik Tokyo.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen