Atlet karate-do negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, dijangka bertukar kategori kepada 61kg sebagai usaha terakhirnya untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas gagal menyertai Kejohanan K1 di Jepun, minggu lalu.

Institut Sukan Negara (ISN) kecewa apabila usaha menurunkan berat badan bekas pemenang pingat emas Sukan Asia 2014 itu menemui kegagalan sehingga tidak dibenarkan menyertai acara kumite kategori 55kg di Jepun.

Ia kegagalan keempatnya untuk menyertai kejohanan antarabangsa walaupun disediakan program latihan khas di luar negara selain mendapat khidmat jurulatih peribadi, Andris Vasiljevs.

"Keputusan ini akan dibuat bersama dengan ISN, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Apa yang penting, pihak ISN akan memaklumkan gambaran yang berlaku secara keseluruhan dan cadangan kami, Isnin depan," kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, di Palace Golden of Horses, Seri Kembangan.

Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF) berdiam diri sejak atlet berusia 27 tahun itu pulang dari Jepun yang menyaksikan skuad negara gagal meraih sebarang pingat.

Badan induk itu akan mengadakan pertemuan dengan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) minggu depan untuk menentukan hala tuju atlet tersebut.

"Sebab itulah ada perbincangan dalam jawatankuasa pembinaan dan pengguguran atlet, ia satu proses yang panjang.

"Ini kerana ia bukan sahaja bertujuan untuk menggugurkan atlet, malah menaikkan pelapis.

"Ia satu proses ketat yang dilakukan," kata Syed Saddiq sempena Majlis Perjumpaan dengan Atlet Program Podium, semalam.