Soon Huat-Shevon miliki peluang cerah ke Tokyo

Oleh Staff Writer 5 Februari 2020 836
Soon Huat-Shevon miliki peluang cerah ke Tokyo
Pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat, masih mempunyai masa untuk mencerahkan peluang ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan syarat sekurang-kurangnya menamatkan baki kejohanan kelayakan di peringkat separuh akhir.

Soon Huat dan gandingannya, Shevon Lai Jemie, yang kini berada di ranking ke-10 untuk layak ke Sukan Olimpik, perlu bekerja keras untuk meningkatkan ke tangga kelapan bagi mendapatkan slot ke Tokyo.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2018 itu mempunyai tempoh hingga penghujung April depan untuk memastikan slot kedua wakil negara ke Sukan Olimpik dengan pasangan profesional, Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon, kini menghuni tangga ketujuh.

Hanya 16 pasangan terbaik bakal beraksi di Tokyo nanti, dengan setiap negara hanya diwakili dua pasangan beregu dalam Sukan Olimpik asalkan mereka berada di kedudukan lapan terbaik kelayakan.

"Prestasi bagi tahun ini masih belum cukup baik. Kami akan berusaha untuk mendapatkan aksi yang lebih konsisten, sekali gus memperbaiki tekanan ketika beraksi di gelanggang," kata Soon Huat.

Pemain berusia 30 tahun itu menganggap belum berada dalam prestasi terbaik musim ini selain perlu memulakan rentak permainan yang baik dalam Kejohanan Masters Barcelona, 18 Februari ini.

"Kami perlu berada dalam kalangan lapan terbaik untuk ke Tokyo. Kini di tangga ke-10, saya berasakan peluang masih lagi terbuka dan kecederaan adalah perkara yang harus dielakkan."



Editor: Ammar Hakim
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen