Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berharap skuad pelayaran 470 wanita mampu meneruskan tradisi menempah slot ke Sukan Olimpik selepas Noraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali mencipta sejarah layak ke Tokyo 2020.

Menurutnya, kegagalan skuad pelayaran negara dalam Sukan SEA Filipina, 30 November-11 Disember lalu tidak menjadi penghalang buat mereka yang ketika ini sudah mempunyai empat wakil ke Sukan Olimpik tahun depan.

Gandingan itu berjaya mengikut jejak langkah Khairulnizam Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif ke Tokyo selepas cemerlang dalam Kejohanan Pelayaran Asia di Shenzen, China.

Nuraisyah dan Juni yang beraksi dalam kelas 470 wanita layak secara merit apabila menamatkan saingan di kedudukan kelima di belakang empat wakil tuan rumah.

"Ini merupakan buat kali pertama atlet wanita dalam acara 470 melayakkan diri ke Tokyo 2020. Pihak MSN akan berusaha membentuk program khas buat mereka untuk menampilkan persembahan yang cemerlang dalam Sukan Olimpik nanti," katanya.

Sementara itu, Shapawi mahu kejayaan Nuraisyah dan Juni yang mencipta sejarah skuad 470 wanita layak ke Sukan Olimpik buat kali pertama dapat memberi motivasi kepada barisan atlet sukan lain.

"Kami berharap kelayakan mereka ke Sukan Olimpik terus menjadi pembakar semangat serta motivasi dan melakukan kejutan di Tokyo nanti."