Road to Tokyo: Peruntukan lonjak peluang emas Azizulhasni 

Oleh Shaiful Shamsudin 21 Februari 2020 144
Road to Tokyo: Peruntukan lonjak peluang emas Azizulhasni 
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan memastikan dana RM8 juta daripada Program Road to Tokyo mampu membantu pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik buat Malaysia.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyuntik RM22.5j secara keseluruhan kepada program itu bagi merealisasikan aspirasi pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan.

Skuad berbasikal trek menerima suntikan paling banyak dengan 'The Pocket Rocketman' disebut-sebut sebagai prospek emas kontinjen negara.

"Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengadakan penyelidikan dan pembangunan terhadap peralatan yang akan digunakan Azizulhasni.




"Setiap saat memainkan peranan yang cukup penting dalam sukan ini termasuk seragam dan basikal yang digunakan ," kata Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Wan Muiz Wan Aziz, hari ini.

Sebelum ini, Azizulhasni adalah atlet tunggal yang berani melaungkan keyakinan menyasarkan emas di Tokyo dan PKBM sedia memberi sokongan bagi memastikan sasaran itu tercapai.

"Apabila anda menggalas tanggungjawab besar, tekanan boleh wujud dari pelbagai arah. 

"Tetapi baru-baru ini, Azizulhasni telah mengumumkan hasratnya untuk memburu emas. 

"Oleh itu, kami akan memberi sokongan kepadanya dalam pemburuan emas," tambahnya.

Ketika ini, skuad berbasikal trek sedang menumpukan perhatian untuk meraih satu lagi slot tambahan dalam acara keirin dan pecut individu dalam temasya Tokyo 2020 menerusi prestasi dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Berlin, Jerman, dari 26 Februari hingga 1 Mac depan.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen