Jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, mengharapkan campur tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempercepatkan proses pembaharuan visanya bagi menyertai enam kejohanan di Eropah dalam melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Impiannya untuk menjadi wakil ekuestrian pertama negara ke temasya terbesar dunia itu akan musnah sekiranya gagal menyertai enam kejohanan yang menawarkan mata kelayakan itu.

Qabil Ambak, secara tidak sengaja, menetap di Denmark melebihi tempoh 90 hari had visanya.

Ketika ini, atlet berusia 39 tahun itu berada di ranking ketiga terbaik Asia dengan hanya dibezakan 20 mata dengan atlet di kedudukan kedua dari Korea Selatan, Young Shik Hwang.

"Berdasarkan prestasi semasa dan pungutan mata setakat ini, saya yakin dapat melayakkan diri dan menjadi penunggang pertama dalam sejarah ekuestrian negara untuk bertanding dalam Sukan Olimpik," katanya dalam sidang media di Kelab Golf Seri Selangor hari ini.

Qabil Ambak berharap pihak yang berkenaan akan membantunya untuk mempercepatkan proses itu bagi mengelakkannya keciciran mata untuk mengejar kedudukan kedua terbaik Asia.

"Saya berikhtiar untuk mendapatkan pertolongan dengan membawa perkara ini kepada pengetahuan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Luar Negara, Wisma Putra, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Pada dasarnya, mereka berjanji untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk membantu dan saya berharap mereka benar-benar dapat menolong," tambahnya.