Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang, bukan sahaja digelar raja keirin negara malah kini memegang gelaran jaguh pecut sekaligus mencerahkan peluang meraih pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik.

Azizulhasni melangkau jangkaan ramai dengan meraih dua pingat gangsa dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia, Jerman Ahad lalu walaupun merupakan kejohanan pertama selepas insiden dia terjatuh di Velodrom Anna Meares, Australia.

Kejayaan itu menyaksikan Azizulhasni melayakkan diri menyertai dua cara iaitu keirin dan pecut dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun terdapat segelintir pendapat yang menyarankan pelumba prolifik itu perlu memberikan fokus terhadap satu acara sahaja.

Bagaimanapun, Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) yakin jika Azizulhasni memilih untuk menyertai dua acara sekalipun dalam Sukan Olimpik nanti, dia tetap mampu memberi cabaran untuk merangkul pingat emas.

"Apa yang dapat kita lihat dalam saingan Kejohanan Berbasikal Trek Dunia membuktikan Azizulhasni mampu memberikan komitmen dalam kedua-dua acara dalam Sukan Olimpik Tokyo nanti," kata naib presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill.

Sementara itu, naib presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, ingin perancangan Le Tour de Langkawi 2021 dimulakan seawal Jun depan bagi memastikan mempunyai penyertaan pasukan jelajah dunia yang secukupnya.

"Selepas bulan jun, kami akan mula membuat persiapan dan tidak perlu menunggu pada penghujung tahun untuk mendapatkan penyertaan pasukan bertaraf jelajah dunia."