PKBM tiada hasrat minta tambah dana 

Oleh Staff Writer 25 Disember 2019 166
 PKBM tiada hasrat minta tambah dana 
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab, menjelaskan tiada keperluan buat persekutuannya memohon dana lebih bagi membantu memantapkan program latihan sandaran utama, Azizulhasni Awang, ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam masa yang sama, bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, menyarankan pelumba kebangsaan itu diberikan dana lebih besar memandangkan dia dilihat prospek utama untuk mencapai misi pingat emas dalam temasya berkenaan. 

Ia susulan candangan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membentuk satu program baru sempena temasya Tokyo 2020.

Namun, Abu Samah berpendapat ia akan menimbulkan situasi tidak adil memandangkan atlet daripada sukan lain yang sudah pun mengesahkan slot ke temasya itu turut berpeluang menyumbangkan pingat.

Beliau sedang berbincang dengan pengendali negara, Jonathan Beasley, dan pembentangan program untuk pemantapan latihan buat Azizul tahun depan bakal diketahui ketika mesyuarat bersama MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), 10 Januari ini.

"Ia tidak adil kepada persatuan-persatuan yang lain, kami tidak mahu minta lebih. 

"Program kami tetap berdasarkan pertandingan yang akan disertai. 

"Acara berbasikal trek ini tiada dalam kejohanan sebarangan kerana (penganjurannya) terhad," katanya.

Dalam masa sama, PKBM turut berharap berbasikal trek mampu mempunyai dua wakil dalam Sukan Olimpik kelak dengan pelumba muda, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dilihat berpotensi cerah untuk membuat penampilan sulung dalam temasya itu seandainya menampilkan aksi cemerlang dalam Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman, 26 Februari depan.

"Shah Firdaus, kami perlu tunggu (prestasinya) dalam Kejohanan Dunia. 

"Kalau dia layak selain Azizulhasni, kami akan mempunyai wakil dalam acara keirin dan pecut." 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen