Peng Soon tetap gigih hadapi musim 2020

Oleh Penulis Jemputan 25 Disember 2019 124
Peng Soon tetap gigih hadapi musim 2020
Biarpun masih dalam rawatan, pemain beregu campuran profesional, Chan Peng Soon, tidak berhasrat untuk berehat lama kerana tempoh untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 hanya berbaki kurang empat bulan sahaja lagi.

Peng Soon sebelum ini menerima tamparan hebat dalam kariernya apabila secara tiba-tiba diserang simptom bell's palsy sehingga menyebabkan pemain itu lumpuh di sebahagian muka ketika beraksi dalam Kejohanan Jelajah Akhir Dunia di Guangzhou, China, minggu lalu.

Hasil rawatan bersama doktor pakar di tanah air menyaksikan ada petanda positif, justeru dia akan pulih dengan segera biarpun pergerakannya terbatas ketika berlatih.

Peng Soon juga tidak bercadang untuk berehat lama seperti yang disarankan kerana dia dan pasangan beregunya, Goh Liu Ying, sedang memburu mata untuk mengukuhkan laluan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Enam bulan adalah tempoh yang paling lama, biasanya ia boleh pulih dalam masa dua bulan. 

"Tempoh pemulihan buat orang muda lebih cepat," katanya dalam latihan di Endah Parade hari ini.

Ketika ini, Peng Soon-Liu Ying berada di kedudukan ketujuh dalam senarai kelayakan ke Tokyo.

Mereka juga sudah mengesahkan penyertaan untuk beraksi dalam Kejohanan Masters Malaysia dan Indonesia bulan depan.

"Saya perlu fokus untuk layak terlebih dahulu selain menjaga diri," tambahnya. 

Gandingannya, Liu Ying, pula meluahkan: "Dia begitu positif untuk melakukan rawatan. 

"Saya harap dia segera sembuh kerana keadaan ini sedikit mengganggu tumpuannya di atas gelanggang. 

"Jadi, dia perlu sembuh segera bagi membolehkannya melakukan persiapan tahun depan."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen