Peluang Qabil ke Tokyo kembali cerah

Oleh Staff Writer 12 November 2019 103
Peluang Qabil ke Tokyo kembali cerah
Peluang Qabil Ambak Mahamad Fathil memburu tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020 kembali cerah apabila Kementerian Belia dan Sukan berada dalam fasa akhir untuk mendapatkan visa untuk ekuin itu kembali ke Eropah.

Qabil kekal di ranking ketiga acara dressage kumpulan Asia dan Oceania walaupun sudah terlepas beberapa kejohanan.

Peluangnya cerah untuk kembali ke Denmark yang menempatkan kudanya, Delatio, apabila hanya menunggu masa untuk mendapatkan visa hasil bantuan Kedutaan Malaysia di Sweden.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin masalah itu akan selesai sebelum bulan depan.

"Pihak Kementerian Belia dan Sukan telah berurusan dengan Kementerian Luar Malaysia (MOFA) dalam usaha mempercepatkan proses mendapatkan visa Qabil. Saya berharap usaha yang dilakukan dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," kata menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Bagi meningkatkan lagi peluang Qabil ke Tokyo 2020, dia perlu beraksi di Eropah. Sebab itu kami bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) lakukan untuk segera mempercepatkan proses ini," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Jika berjaya, Qabil bakal mencipta sejarah sebagai ekuin pertama negara beraksi di pentas Olimpik.

Terdahulu, Syed Saddiq melancarkan pakaian sukan rasmi Team MAS -- untuk dipakai penyokong negara sepanjang Sukan SEA Filipina.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen